Page copy protected against web site content infringement by Copyscape

11 Januari 2009

BERANI MATI - Refleksi orang muda

Pementasan BERANI MATI adalah teater pertama yang saya tonton tahun ini. Di luar The Store, pada malam pertama persembahan, pengarahnya Fasyali Fadzly memberitahu saya supaya jangan menjangkakan apa-apa yang tinggi menerusi persembahan ini, yang disifatkan sebagai "anak kandungnya". Tetapi saya tetap masuk dengan sesuatu jangkaan kerana apabila seseorang berani menulis dan mengarahkan skripnya sendiri, kita perlu menjangkakan sesuatu daripadanya.

BERANI MATI secara fizikalnya adalah teater orang muda. Suara dan visualnya adalah refleksi kepada minda-jiwa orang muda. Fasyali melemparkan statement demi statement kepada penonton, sangat rakus dan ada kalanya gelojoh – itu adalah sikap dan jenama orang muda. Sesekali saya menutup mata, ingin mendengar suara daripada ruang yang lain, yang mungkin saya tidak nampak di pentas, tetapi yang bergema adalah teriakan-teriakan ganas yang minta didengar.

Pembukaannya menarik, dengan efek letupan dan kekacauan yang menemukan penonton dengan kesemua watak yang chaos dan takut. Ia seperti suis yang menancang mata ke ruang pentas dan membangkit rasa ingin tahu. Tetapi memulakan sebuah persembahan dengan level yang sangat tinggi juga ada risikonya, iaitu hendak mengekalkan level itu sehingga akhir. Memilih pembukaan yang tinggi dan mengekalkannya dengan permainan yang bising dan bingit, hampir menghilangkan klimaks drama ini. Mujurlah drama ini berakhir tepat pada masanya - sebelum penonton melihat jam.

Mengendali ruang lakon merupakan satu perkara penting yang adakalanya diringankan oleh produksi ini. Untuk ruang seperti The Store, ada teknik tersendiri menjaga hubungan dengan penonton. Mendepani penonton The Store tetapi membayangi auditorium MTC (misalnya) akan menghamburkan energi yang melimpah-ruah dan melebihi apa yang penonton perlukan. Ia menghasilkan gaya lakon yang kelihatan dibuat-buat dan tidak natural. Ruang The Store sangat intim dengan penonton, maka menjaga intimasi itu juga adalah satu kerja yang menuntut kepekaan pelakon (dan pengarah). Ini adalah satu elemen seni yang teratas dalam persembahan lakon.

Secara peribadi saya selesa dengan gaya natural lakonan Iskandar Abdullah (Pian) kerana ia sesuai dengan ruang lakon ini. Di tengah para pemain yang terlalu berusaha, Iskandar memperlihatkan kawalan ruang yang baik. Tetapi sebaliknya jika gaya berkumpulan yang sama dipentaskan di pentas MTC, Iskandar mungkin tenggelam di sebalik permainan yang lain. Begitulah rumitnya kita mengendalikan ruang lakon. Mohd Nazri Baseri (Lipan) juga mempamerkan persembahan yang menarik hati, meskipun saya rasa permainannya sebagai "mangsa tetapi memangsakan" harus lebih dalam lagi. Nazri kelihatannya “terlayan” dengan gelak ketawa penonton dan ini satu bahaya yang hampir menghilangkan karakternya. Ahmad Iswazir (Azhar) adalah pelakon yang memiliki vokal pentas yang sangat baik. Tetapi adakalanya vokal beliau terlontar begitu saja, tidak diisi emosi dan tujuan yang sesuai. Vokalnya seperti tidak ada karakter. Hanya bagus dan lantang, tapi tiada karakter.

Hisyamudin Ahmad yang memegang watak Farid membuatkan saya percaya kepada attitude wataknya seperti mana yang disebut-sebut di dalam dialog watak lain. Dia “berani lain macam”, ini nampak pada permainannya yang berbeza dengan pemain lain. Tetapi saya fikir lakonannya masih berpusar-pusar pada stail fizikal, saya belum percaya ia lahir dari dalam jiwa. Manakala Iskandar Zulkarnain (Razak) bermain penuh gaya, cuma sesekali saya tidak senang dengan interpretasi watak yang tampak tidak keluar daripada jiwanya, tetapi seperti keluar daripada jiwa pelakon lain yang dia suka. Sesekali macam Nasir Bilal Khan, macam Adlin Aman Ramli pun ada. Memang bagus, tetapi tidak jujur.

Begitupun, apa yang saya suka di dalam kombinasi para pelakon ini adalah, masing-masing pandai membawa diri di pentas dan saya tidak benci atau meluat melihat mereka berlakon. Saya sangat kagum dengan energi dan stamina mereka, memperlihatkan disiplin yang tinggi sebagai performer, akhirnya menampilkan kerja berpasukan yang sungguh cemerlang. Abaikan semua komen saya secara individu, produksi BERANI MATI sungguh cemerlang sebagai sebuah ensembel.

Fasyali mengemukakan isu yang menarik dan relevan. Persembahan ini realistik sifatnya. Jalan ceritanya linear, kronologis dan pengakhirannya mudah dijangka. Lebih daripada itu Fasyali berjaya membuatkan penonton menunggu hingga ke akhir serta memberikan pengakhiran yang tidak berakhir. Beliau meninggalkan persoalan untuk difikirkan oleh penonton. Bukan pengakhirannya saja yang perlu difikirkan, tetapi banyak lagi isu yang disentuhnya - agama, bahasa, sosial, ekonomi, politik dan segala-galanya. Sayangnya kerana terlalu banyak perkara ingin disatirakan, akhirnya perbincangan segala isu masih berada di permukaan dan belum sampai ke dasarnya. Latar drama ini tidak jelas. Di mana dan siapa mereka semua ini masih kabur. Sama ada secara sedar atau tidak Fasyali terlalu memomokkan penonton dengan fakta-fakta yang biasa dilihat di suratkhabar atau televisyen. Di peringkat ini saya kira interteksnya tidak berlaku dengan lancar dan meyakinkan.

Saya ada satu pendapat peribadi, yang mana kalaulah ada watak perempuan di dalam drama ini mungkin ia berhasil menimbulkan sudut pandang yang lain. Perang, bom dan wanita. Ia sangat ironi dan parodi. Sesetengah dialog di dalamnya kalau terluah daripada mulut perempuan, interpretasinya mungkin menjadi berbeza. Mungkin ia boleh memecah yang permukaan menjadi lebih dalam. Tapi itu hanya pandangan peribadi saya.

Apabila dalam sesi Q & A pengarahnya memutuskan ini adalah sebuah tragik-komedi, saya tidak begitu setuju kerana tragik-komedi umumnya adalah satu drama yang serius tetapi berakhir dengan kegembiraan. Bolehkah kita gembira melihat orang mengebom diri-sendiri? Atau sekurang-kurangnya kita rasa begitu? Segala satirikal ini menjadikan saya fikir ia adalah sebuah black-comedy. Tapi saya tidak berminat memanjangkan isu ini dalam sesi Q&A sebab saya tak fikir ia sesuai pada waktu sebegitu.

Sekiranya drama ini dipentaskan sekali lagi, dan sekiranya Fasyali meminta pandangan saya, saya akan meminta Fasyali membuang tablo-tablo di tengah drama ini yang pada saya tidak segar sifatnya, serta merencatkan persembahan drama ini, hampir menjunamkannya menjadi slapstik.

Keseluruhannya saya seronok dan kagum menonton persembahan ini. Drama ini dibikin dan dimainkan dengan berani serta jujur oleh orang-orang muda yang menunjanginya. Secara jujur ia belum lagi sebuah persembahan yang hebat kerana masih banyak lompang yang perlu diperbaiki. Tetapi BERANI MATI menyaksikan sekumpulan lagi anak muda berbakat muncul penuh semangat dan berilmu. Saya gembira apabila melihat orang berilmu menyampaikan ilmu mereka, apatah lagi menerusi bidang yang saya cintai ini.

Syabas Fasyali dan juga seluruh team produksi ASC. Teruslah untuk menyentuh lagi jiwa orang lain dalam karya kamu!

3 ulasan:

Fasyali Fadzly berkata...

terima kasih kerana datang menonton. terima kasih juga dengan review kak lenny. ini yang saya perlukan sebenarnya. ilmu selepas persembahan. kerja pengarahan tidak pernah habis kerana kita sentiasa mahu memenangkan semua pihak.

Aloy Paradoks berkata...

malam tu sy nampak Razak macam Nasir Bilal Khan atau sesekali Macam Soffi Jikan..

tapi sy terhibur dan dpt sesuatu dari Berani Mati..

Tanpa Nama berkata...

thanks kak lenny..honestly,sy mmg imitate mereka pun..