20 Januari 2009

MENDENGAR DRAMA NOORDIN HASSAN

MENONTON pementasan Saya Dari Hujung Kota, meningkatkan lagi pengalaman saya mendengar suara Noordin Hassan menerusi naskah-naskahnya. Ini adalah sebuah kolaj kepada karya-karya agung beliau, dikerjakan oleh Rohani Yusof bersama ensembel ASWARA. Hadir pada malam kedua persembahan (19 Januari 2009) bertempat di Panggung Eksperiman ASWARA, saya sebenarnya sudah mengetepikan segala elemen lain pada malam itu, kerana saya tenggelam dalam puspa bahasa Sasterawan Negara ini. Saya sudah tahu ia adalah sajian berwajah kolaj, jadi saya tidak datang untuk menjangkakan sebarang proses dramatik. Saya berada di ASWARA pada malam itu adalah untuk meraikan seorang lagi tokoh penulis yang saya hormat dan kagumi, Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan.

Karya pertama beliau yang saya baca berjudul Anak Tanjung. Malah watak Sapura di dalamnya juga telah saya lakonkan pada tahun 1999. Sehingga sekarang saya masih merasakan belum ada penulis drama yang setara beliau dalam mengungkapkan makna dalam puitisnya bahasa. Noordin Hassan selalu membuai-buai jiwa dan naluri saya ketika membaca karya-karyanya. Sebenarnya yang paling saya suka adalah satu-satunya karya beliau yang sudah diterbitkan tetapi belum dipentaskan berjudul Mana Setangginya. Saya gembira mendengar ia bakal berlangsung di Istana Budaya hujung tahun ini, mudah-mudahan tidak ada halangan.

Noordin Hassan satu-satunya Sasterawan Negara yang "terkontroversi" menjelang penerimaan anugerah berkenaan pada tahun 1993. Ramai yang mempertikai kerana menurut mereka seorang dramatis tidak sama letak duduknya dengan sasterawan kerana drama tidak lengkap sifatnya tanpa dipentaskan. Sedang naskah sastera berdiri sendiri sebaik ditulis dan diterbitkan, tanpa perlu sebarang medium bagi merealisasi kelahirannya. Tetapi seperti yang saya kata, oleh kerana hasil tulisan tokoh ini malah melebihi sesetengah penulis dalam genre kreatif lain, maka akhirnya segala pertikaian dan perdebatan itu disenyapkan dengan kredibiliti beliau yang gagal dinafikan. Maka lahirlah seorang Sasterawan Negara dari kalangan dramatis di Malaysia. Beliau tokoh yang berkarisma.

Beliau disifatkan sebagai pelopor drama anti realisme atau absurd di Malaysia, walaupun beliau menolak istilah itu yang rapat mengekori acuan Barat. Selepas tercetusnya 13 Mei 1969, Noordin Hassan dengan berani menyuarakan kegagalan komunikasi sesama masyarakat, termasuk kegagalan pemerintah juga. Ini jelas di dalam Bukan Lalang Ditiup Angin. Beliau bagaimanapun mengisytiharkan aliran fitrah sebagai mewakili identitinya. Meskipun begitu, setiap kajian dan apresiasi ke atas karya beliau tetap bertiangkan absurditi, sehingga sarjana Solehah Ishak menyatakan bahawa karya-karya Noordin Hassan wajar digelar absurd ala Malaysia.

Konsep nur, titian spiral serta mesej Islamik "tanpa mengIslamkan drama" adalah attitude paling berkesan yang memberikannya ruang untuk berdiri sendiri. Noordin meletakkan penulisan drama sebagai satu bentuk ibadah yang menuju kepada hidayah. Setiap dramanya menyeru dan terus menyeru umat manusia supaya kembali kepada fitrah diri, masuk melihat semula perjanjian fitrah kita sebelum dilahirkan, yang mana mahu atau tidak - akhirnya kita semua akan kembali kepada Allah. Ini dibawakan begitu cemerlang sekali di dalam Tiang Seri Tegak Berlima, Pintu dan Jangan Bunuh Rama-Rama. Selain Anak Tanjung yang lebih realis sifatnya, hampir kesemua karya beliau membawa watak berjalan menghala spiral, yang mana konsep ini cuba diterjemah oleh Rohani Yusof dalam Saya Dari Hujung Kota, baik dari sudut rekaan pentasnya dan juga konsep randainya.

Noordin Hassan yang absurdis, juga feminis, nasionalis dan sinis - segala-gala tentang karyanya menjadikan saya tunduk hormat kepada seluruh pengalaman hidup dan kebijaksanaan kreatif yang ditumpahkannya begitu mendalam pada karya-karyanya.

Mengenai persembahan, saya sebenarnya ada banyak pertanyaan kepada pengarahnya. Tetapi akhirnya saya memilih untuk menikmati sahaja fragmen-fragmen yang terbaik yang telah dipilih. Pada saya pementasan ini berjalan penuh sederhana dan memikat. Saya boleh nampak pengarah tidak menonjolkan apa-apa selain naskahnya. Pengarah mahu penonton duduk dan mendengar. Pementasan ini tidak over do. Ia tidak terlajak dalam segala hal. Segala-galanya sederhana, memuaskan dan cukup untuk penonton pada ketika dan masa itu. Ia benar-benar mahu kita mendengar suara Noordin Hassan.

Saya fikir konsep randai dipilih bagi memudahkan drama-drama ini dipentaskan secara fragmen bagi mengelakkannya daripada klise keluar masuk pentas. Cuma saya kira apabila budaya randai itu diangkat, perlulah ada jawapan yang kuat untuk menjawab mengapa randai dipilih? Kalau randai, kenapa pula lakonannya di luar lingkung anak-anak gelombang? Tetapi saya akhirnya tidak berminat mencari jawapannya kerana saya sudah cukup berpuas hati dengan usaha mengangkat naskah. Jarang ada pengarah yang benar-benar mahu memperdengarkan naskah penulis. Selalunya pengarah mahu memunculkan kecantikan atau kehebatan pelakon, menunjuk-nunjuk spektakular produksi atau kreativiti sendiri, tetapi pada saya Rohani Yusof sendiri tidak mahu memunculkan dirinya, kerana dia hanya mahu memunculkan Noordin Hassan. Jadi saya menerima persembahan ini sebagai satu acara yang mana kita berhadapan dengan Noordin Hassan, mendengar seluruh pemikirannya dilontarkan dalam karya-karyanya. Itu cukup untuk saya.

Sesungguhnya kepada saya, persembahan ini memikat hati. Pelakonnya tidak berlebihan, aksi mereka tidak berlebihan, penggunaan skrin dan projektor tidak berlebihan - mereka semua bermain di dalam ensembel yang dijalin padu dan luhur. Walaupun ia hanya kolaj, tidak mungkin ada permulaan, pertengahan, klimaks dan pengakhiran, tetapi bagi saya jantung drama ini adalah ketika Baisah mengalunkan Kisah Barat diiringi nyanyian zikir para korus ketika mereka mengiringi kematian Cindai. Saya tertegun di situ. Adegan itu bukanlah spektakular, tetapi ia menusuk dalam ke sanubari saya. Saya seperti mencari Tuhan di situ. Saya seperti melayang naik seperti mana kata si polan bin si polan ternampak semua orang naik. Saya terapung-apung dalam kesyahduan babak itu. Rohani Yusof menyentuh hati saya dengan penuh spontan dan tidak berlebihan. Itulah lebihnya pengarah yang berpengalaman. Dia tahu bagaimana mahu melebih-lebihkan sesuatu tanpa berlebih-lebihan.

Saya boleh nampak dengan jelas Rohani mengawal semua pelakonnya supaya tidak melebihi lafaz kata. Jenaka mereka terancang, lakonan presentasi yang konsisten, muzik dan vokal yang menawan, gerak-geri randai yang sungguh berdisiplin, sedikit stail epik ala Brecht serta emosi yang sederhana tetapi menyeluruh. Apabila Tania (Puteri) menyanyi setelah disumpah menjadi separuh batu oleh Jin Gentleman itu - saya yang kenal abiliti Tania, tahu dia boleh melakukan lebih daripada itu. Namun begitu aksinya mendatar, tetapi luahan dialog dalam ucapan dan nyanyian begitu jitu dan padu. Maka di situ saya sedar bahawa pengarahlah yang memilih begitu. Kudos, ia menjadi! Sekurang-kurangnya di mata saya.

Setelah sekian lama saya mengikuti perkembangan produksi ASWARA, saya kira inilah pertama kali saya tidak mendengar para pelajar ASWARA yang menonton menjerit-jerit sama ada di permulaan, pertengahan mahupun pengakhiran drama. Selalunya mereka suka menjerit dengan kuat dan meriah bagi meraikan kawan-kawan mereka di pentas (tidak kiralah apa hasil pementasan itu), tetapi saya dapat rasa malam ini ada penghormatan lain yang diraikan. Saya gembira dan bangga kerana penghormatan pada malam itu sampai dengan betul di hati semua orang, cuma saya terkilan tidak dapat melihat Noordin Hassan muncul di atas pentas.

Tahniah kepada Rohani Yusof, ensembelnya dan seluruh tenaga produksi. Mereka memilih cara bersederhana, dan ia adalah kesederhanaan terbaik. Rohani berhasil mengajak penonton menghayati kata-kata daripada pena agung seorang tokoh. Setelah sekian lama juga, akhirnya saya dapat mendengar sebuah drama pentas, tidak sekadar menontonnya.

2 ulasan:

telee berkata...

Alhamdullilah saya terserempak dengan blog sdr. Dengan keikhlasan hati, izinkan saya mencadangkan kepengarangan atau penulisan kreatif yang ada pada sdr haruslah dimanfaatkan. Kerana kehalusan pemikiran sdr menyegarkan. Saya menulis dua tiga baris ini semata-mata ingin menjemput dan 'menggesa' sdr supaya menonton pementasan 'Intan Yang Tercanai' yang bakal dipentaskan di Dewan Syed Nasir, DBP mulai 8 Julai ini. Sebelum itu, lupa jangan 'Mana Setangginya' di Istana Budaya (13-21 Jun 2009).
Salam, Cikgu Noordin Hassan

MARLENNY DEENERWAN berkata...

Terima kasih cikgu Noordin yang sangat saya kagumi. Mana Setangginya saya terlepas kerana tidak berada di KL pada hari pementasan. Insya Allah akan membuat ulasan mengenai Intan Yang Tercanai.

Salam hormat saya kerana sudi mengunjungi blog ini. Terima kasih.