29 Januari 2009

MERAIKAN PERKEMBANGAN SENI DI MALAYSIA

ADA beberapa kali saya memenuhi undangan sesi forum, seminar atau bengkel di beberapa IPTA, kebanyakannya untuk berdiskusi mengenai SENI secara umum, atau TEATER secara khusus. Saya sangat suka menghadiri acara sebegini, lebih-lebih lagi sekiranya berpeluang mendepani para pelajar IPTA yang tidak mengambil jurusan seni persembahan. Saya mempunyai banyak energi untuk memberitahu mereka bahawa kesenian itu, tidak kira apa bidangnya adalah satu bidang ilmu. Jadi, untuk mengkaji dan membicarakannya, kita memerlukan sebuah sidang ilmu.

Selalunya soalan pertama Pengerusi majlis yang saya hadiri - yang boleh saya jangkakan - adalah, "apa pandangan anda mengenai perkembangan kesenian di Malaysia?" Setelah forum demi forum, saya fikir saya semakin cekap menjawab soalan ini. Pada saya perkembangan seni di Malaysia mempunyai graf yang berbeza berdasarkan bidangnya. Kita bercakap tentang seni apa? Seni layar, muzik, tari, tampak, teater atau apa? Pada saya perkembangan seni itu belum merisaukan, tetapi apresiasi masyarakat terhadap kesenian itulah yang sangat merisaukan saya.

Sebenarnya apakah pandangan masyarakat Malaysia terhadap seni? Adakah seni dalam imej mental mereka adalah satu hobi di masa lapang? Adakah seni merupakan bidang yang tidak serius dan boleh dilakukan ketika kita sudah tiada apa untuk dilakukan? Manakala golongan remaja dimomokkan dengan pandangan bahawa bidang seni adalah satu bidang penyelamat untuk membolehkan mereka berada di universiti walaupun dengan capaian akademik yang tidak memuaskan. Kalau inilah tahap apresiasi masyarakat kepada bidang seni, maka saya boleh katakan bahawa kesenian di Malaysia terkelompok di dalam situasi kemiskinan tegar.

Mempraktik seni tidak mungkin berlaku secara satu hala. Salah satu prinsip seni adalah khalayak. Seperti mana asal-usul teater, iaitu aktiviti ritual dipersembahkan kepada dewa-dewa (khalayak mereka ketika itu), maka dengan transformasi ritual kepada seni teater itu menjadikan kita bermain untuk khalayak. Kenapa untuk khalayak? Kerana di situlah terjunjungnya maruah si pemain, pemikir, pencipta, pembuat dan apa saja P- yang berada di dalam lingkung dunia seni. Dalam sepotong kesempatan yang diberikan Allah untuk hidup di dunia ini, maka si seniman juga sama tarafnya dengan bidang yang lain sama ada doktor, peguam, ustaz, perdana menteri, jurutera, guru, ahli sukan dan apa saja, maka di situlah duduk letaknya si seniman - iaitu berbakti dan memberi sinar kepada masyarakat / khalayaknya. Tetapi malangnya, kesempatan ini sering dinafikan oleh masyarakat Malaysia yang jahil seni, meletakkan kelompok seniman di ruang paling gelap, hampir tak tercapai oleh majoriti.

Mengapakah pula terjadinya begitu?

Selepas zaman-berzaman, sistem pendidikan kita berlaku secara satu hala, dengan guru mengajar dan murid mendengar. Kemudian beberapa perubahan berlaku dengan munculnya pelbagai idea dan sistem yang membolehkan sistem pengajaran-pembelajaran dua hala ini berkembang. Tetapi saya boleh katakan bahawa pihak penggubal pendidikan sangat berat hati mengaplikasikan resipi kreativiti dalam sistem pendidikan negara. Memang ada usaha menjana kreativiti dalam cara pengajaran guru, tetapi definisinya singkat dan ketinggalan zaman. Kalau hanya dengan mendeklamasi puisi di dalam kelas-kelas bahasa, atau kegiatan drama di sesi ko-kurikulum, maka saya rasa kanak-kanak lebih gemar duduk di rumah menonton siaran kartun. Penubuhan sekolah seni pada saya sebenarnya bukanlah tindakan yang bijak sangat, sebaliknya menggabungkan medium seni ke dalam sistem pendidikan yang sedia ada merupakan pilihan yang wajar dipertimbangkan.

Apatah lagi sekolah seni yang ada (setakat ini di Sarawak dan Johor) dimulakan di tahap pelajar sekolah menengah, kita sebenarnya telah merencatkan proses melentur rebung yang sepatutnya menjadi asas kepada usaha ini. Di sesetengah negara Barat, medium teater dan muzik umpamanya, diamalkan dengan begitu aktif sejak pendidikan pra-sekolah. Ini melibatkan mata pelajaran melibatkan sejarah atau subjek yang mempunyai formula yang sukar dihafal seperti matematik dan sains - bukannya membawa masuk bahasa lain untuk mengajarnya. Misalnya dalam silibus peristiwa perlantikan presiden, kanak-kanak ini diberikan watak setiap seorang, dengan dialog yang mereka usahakan sendiri berdasarkan teks sejarah, dan menyampaikannya di hadapan guru dan ibu bapa masing-masing. Sebaik sahaja kanak-kanak ini mendapat tepukan gemuruh, maka di situlah rangsangan kepada keyakinan diri mereka akan dicetuskan. Motifnya, bukanlah perlakuan teater itu yang semata-mata penting, tetapi hasil kemunculan mereka di pentas yang akhirnya memberikan motivasi sepanjang hayat. Maka kanak-kanak memperoleh ilmu yang diserap secara kreatif, dalam masa yang sama satu sisi kreatif dan karisma individu mereka turut terserlah.

Mereka yang telah terbiasa menggunakan seni sebagai medium belajar, akhirnya akan menghabiskan pengajian sekolah tinggi mereka dengan satu penghayatan seni yang sebati dalam diri. Walaupun mereka memilih bidang masing-masing di universiti sama ada bidang jurutera, ekonomi, perubatan atau apa saja, tetapi mereka tetap mempunyai daya apresiasi seni yang tinggi. Tidaklah hairan setiap lapisan masyarakat mereka tanpa mengira bidang kerjaya, pandai membaca skor muzik di peringkat paling asas, atau sekurang-kurangnya telah membaca satu naskah sasterawan agung mereka - seperti Shakespeare. Tahukah anda, buta seni dan sastera di kalangan masyarakat Malaysia begitu menyedihkan, sehinggakan dalam satu temuduga memasuki institusi seni, ada calon pelajar menjawab bahawa Malaysia mempunyai lebih kurang 80 SASTERAWAN NEGARA dan antara sasterawan yang dinamakan itu adalah AHADIAT AKASHAH? Ini sebenarnya lebih parah daripada statistik kemiskinan tegar di negara ini!

Disebabkan itulah di negara-negara maju, pelakon dan pengarah teater (contohnya) adalah satu kerjaya yang memberikan pulangan lumayan, kerana masyarakat menyedari dan mengiktiraf kehadiran mereka. Masyarakat datang menyaksikan persembahan teater kerana mereka sedar ada sesuatu yang mereka perlukan di situ, manakala pembikin teater membikin teater kerana sedar ada sesuatu yang mereka perlu berikan kepada masyarakat. Apabila resepsi ini berlaku, maka taraf sesuatu kesenian itu sudah berada di tempat teratas.

Maka setelah itu kita pun menyedari bahawa betapa terbawahnya penerimaan masyarakat kepada seni di Malaysia pada masa ini. Kalau masyarakatnya sudah begitu, janganlah dulu bercakap tentang pemainnya. Itu lebih lambat lagi. Apa yang lebih saya kesalkan apabila seni layar (filem) dan seni muzik di negara ini telah dilabel sebagai industri hiburan. Kalau inilah cara masyarakat melihat seni, iaitu melihatnya sebagai hiburan - maka kita sebenarnya sedang bergelumang dengan budaya hedonistik. Hedonisme adalah serendah-rendah taraf dalam tamadun sosial manusia, tetapi kita dengan bangganya melabelkan kesenian kita di taraf itu.

Apabila bidang seni tidak lagi menjadi jambatan antara seniman dan khalayak, maka akhirnya yang wujud adalah seni untuk seni - sahaja. Pembikin seni terperangkap dalam dunia ciptaan masing-masing, mereka berkarya dan menghargainya sendiri-sendiri, atau hanya kawan-kawan terdekat datang mengapresiasi, yang pula adakalanya memberikan maklum balas yang tidak membina (kerana mereka sendiri tidak memahami nilai karya berkenaan). Bukan sekali dua saya termangu-mangu dalam perbincangan dengan kelompok aktivis yang ghairah dan bersemangat bercerita tentang karya seni mereka, yang akhirnya saya mendapati mereka sebenarnya hanya bercakap tentang diri mereka sendiri, tidak keluar daripada kepompong mentaliti ortodoks. Mereka terlupa akan kewujudan masyarakat kerana masyarakat juga sudah melupakan mereka. Saya bimbang kalau saya juga adalah sebahagian daripada mereka.

Saya sebenarnya teringin mewujudkan impak supaya medium seni seperti teater misalnya dibawa masuk sebagai satu kaedah pengajaran yang diiktiraf bermula dari peringkat pra-sekolah lagi. Kita memang sudah terlambat kalau kita asyik membanding pencapaian dengan sesetengah negara Barat, tetapi sebenarnya dalam proses pendidikan, tidak ada istilah terlambat. Kita boleh bermula bila-bila masa saja asalkan kita komited. Tetapi siapalah saya untuk memperjuangkannya? Negara kita hanya dipenuhi pakar dan sarjana yang lebih berminat membawa masuk bahasa Inggeris untuk mengajar matematik dan sains, sedangkan yang sepatutnya dimantapkan adalah matapelajaran bahasa Inggeris itu sendiri.

Dalam pada pakar-pakar ini - digabung dengan campur tangan "cendekiawan politikus" - bertelagah dan bertegang urat sama ada mahu kekalkan sistem itu atau tidak, kanak-kanak tadi semakin membesar dan menerima saja apa yang ada. Jadi kita akhirnya hanya akan berbalik kepada pepatah rakyat, bahawa walhasil balik asal dan pi mai pi mai tang tu sajalah. Luncai tetap terjun dengan labu-labunya, Pak Kaduk tetap menang sorak, kampungnya juga yang tergadai.

9 ulasan:

aloy berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
aloy berkata...

penggiat seni bg saya macam akitek jugak,,akitek membina bangunan, cukup haul dan letak duduknya. aktivis seni pun membina jugak..
membangunkan apa yang diciptanya.

kalau komposer, dia membina sebuat lagu hingga lagu itu berdiri sendiri.
begitu juga dengan teater dan penulisan.

harap faham maksud saya.

Vitamin berkata...

ya, Allah. antara tulisan yang saya sangat suka dalam banyak-banyak catatan para blogger.

saya setuju dengan kak lenny. kita tiada masalah dengan pergerakan seni kita. setiap hari pasti ada sahaja pementasan (bercakap di sekitar lembah klang). cuma yang merisaukan, adakah ada orang yang mahu datang menonton. saya kira, kita perlu mencari bagaimana mahu mencipta penonton. menaikkan kadar penontonan di kalangan masyarakat yang memandang seni itu sebagai satu benda yang murah. seni itu tetap akan ter-evolusi.

tapi saya suka gaya struggle begini.

LENNY ERWAN berkata...

Aloy dan Vitamin,

itulah pentingnya menyuntik pendidikan seni di peringkat lebih awal. Kalau dah jadi buluh, orang pun dah malas nak layan teater (contohnya) sebab dah memang tak faham.

Tapi politik dan pendidikan (dan kesenian) memang tak akan pernah bersatu.

pie berkata...

tapi kak...
walau saya buluh, tetap nak tgk teater...
tapi buluh yang tumbuh di padang pasir nk buat mcm mn...
tandus dengan hujan teater...
ehehehe...

LENNY ERWAN berkata...

Pie, ingat ni - "tidak ada istilah terlambat dalam proses pendidikan"....

Selamat terus berkarya, insya Allah.

Pegawai Khalwat berkata...

Aku setuju seratus lima puluh peratus.

Pada aku, usaha yang lebih penting adalah pada diri sendiri. Ramai orang suka mengharapkan pada orang lain, pada pihak berkuasa pendidikan misalnya untuk mendalami perkara ini.

pada aku tidak terlambat kita sendiri yang cuba membentuk anak-anak ini. Walau mungkin tidak ramai, dan kesannya perlahan, sekurangnya kita dah mulakan sesuatu.

Ya, pengkarya seni dengan dunianya juga sangat menakutkan. Mereka tidak sedar mereka menghidangkan dunia mereka yang syok sendiri. Tapi pada masa yang sama, tak boleh juga mengsyokkan orang lain (baca penonton) hingga mereka rasakan itu suatu hiburan.

Bayangkan keadaan ini; bila dalam naskhah Gelanggang Tok Wali oleh Ismail Kasan, anak-anak sekolah rendah yang datang turun naik kerusi auditorium, buka baju, bersembang, tetapi memberikan fokus bila tiba bab lucu.

Sangat membimbangkan.

LENNY ERWAN berkata...

Tuan pegawai,

ya ... sangat membimbangkan. Saya harap saya boleh buat sesuatu mengenai perkara ini di masa akan datang. Tapi saya kena lihat waktu yang sesuai. Sebenarnya sudah ramai aktivis yang menekan supaya subjek teater dijadikan medium pembelajaran di sekolah. Tapi entah tekanan macamana lagi yang kerajaan tunggu.

akumurba berkata...

hiudp Kak Lenny. Teruskan usaha menyedarkan mereka yang mengatakan orang seni nie skema..lah..., terasinglah...dsb. Tegaskan bahawa kita kelompok yg mencintai seni walau apa bentuk pun adalah insan yang versatile dalam apa jua keadaan.